Anwar Sifatkan Netanyahu Sebagai Kurang Siuman, Zalim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan kecaman keras terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang disifatkan sebagai ‘kurang siuman’ dan zalim kerana terus menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dalam ucapannya pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, Anwar berkata, tindakan rejim Zionis yang menyasarkan kanak-kanak, wanita, hospital dan sekolah adalah kezaliman yang melampaui batas kemanusiaan.

“Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman, zalim.

“Mereka sanggup menuduh anak kecil berusia dua tahun yang berlari pun sebagai Hamas.

“Ini penyakit, malas kita bicara, yang penting kita harus bangkit,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar; Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Pada masa yang sama, Anwar turut mengumumkan bantuan tambahan sebanyak RM100 juta bagi pihak Kerajaan Malaysia, menyusul jumlah serupa yang telah disalurkan pada tahun 2023.

Dana itu bertujuan membantu rakyat Palestin yang kini berdepan kebuluran dan kekurangan ubat-ubatan akibat sekatan berterusan.

“Malaysia boleh jadi contoh kepada negara lain dalam menjuarai isu kemanusiaan.

“Kita perlu bina kekuatan baharu dan anak-anak muda mesti bangkit menjaga negara ini supaya benar-benar merdeka, bermartabat dan mampu membantu bangsa lain,” katanya.

Anwar turut menyeru syarikat korporat dan swasta agar tampil menyumbang dana tambahan, memperkukuh usaha kemanusiaan ke Gaza.

Himpunan yang dianjurkan bersama oleh MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia itu menyaksikan kehadiran lebih 100,000 peserta, menjadikan ia antara acara solidariti terbesar di negara ini.

Anda Mungkin Berminat