PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan rasa simpati mendalam kepada rakyat Sepanyol yang telah mengalami kehilangan ratusan nyawa serta kemusnahan besar di Valencia akibat banjir besar minggu lalu.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menyatakan bahawa rakyat Malaysia bersama-sama dengan rakyat Sepanyol dalam masa-masa yang sangat mencabar ini.
“Rakyat Malaysia bersama-sama dengan rakyat Sepanyol dalam masa-masa yang sangat mencabar ini dan akan terus mendoakan keselamatan serta kesejahteraan mereka dengan harapan ikhlas bahawa keadaan akan bertambah baik dalam masa terdekat,” katanya.
Banjir besar yang melanda Valencia telah menyebabkan kemusnahan yang meluas dan kehilangan nyawa yang tragis.
Kejadian itu telah menarik perhatian global apabila banyak negara dan organisasi antarabangsa menawarkan bantuan dan sokongan kepada Sepanyol.