PETALING JAYA: Masyarakat kini tertanya-tanya mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi sasaran desakan untuk berundur, sedangkan beliau telah menunaikan janjinya menurunkan harga petrol RON95 dan menjadikannya antara paling murah di dunia.
Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan menyifatkan tuntutan tersebut sebagai sebahagian daripada strategi besar yang digerakkan oleh musuh Islam dari dalam dan luar negara.
“Ini terbukti apabila para peserta tak pasti siapakah yang layak menggantikan Anwar.
“Ada yang salah sebut nama pemimpin utama PAS yang dikatakan layak memimpin negara,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.
Amidi turut mempersoalkan kewajaran demonstrasi ‘Turun Anwar’ yang diadakan pada 26 Julai lalu dan menyifatkannya sebagai janggal dan tidak berasas.
Beliau menjelaskan bahawa kekeliruan semakin memuncak apabila Anwar bukan sahaja menurunkan harga petrol tetapi turut memperkenalkan bantuan SARA untuk semua warganegara berumur 18 tahun ke atas.
“Rakyat makin keliru apabila Anwar sendiri mengumumkan penurunan harga Petrol Ron 95 walaupun ia sudah menjadi antara harga termurah di dunia.
“Bantuan SARA untuk setiap rakyat yang berumur 18 tahun ke atas, menambah kekeliruan masyarakat kenapa Anwar perlu diturunkan,” ujarnya.
Amidi turut mengaitkan desakan terhadap Anwar dengan dinamika geopolitik antarabangsa termasuk kemenangan semula Donald Trump sebagai Presiden AS dan pelaksanaan dasar ekonomi ‘Reciprocal Tariff’.
“Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim berusaha sedaya upaya mempertahankan kedaulatan negara dari digugat menerusi perang ekonomi,” katanya.
Beliau juga berpandangan bahawa keberanian Anwar mengkritik Israel secara terbuka turut mencetuskan rasa kurang senang dari Amerika Syarikat.
“Kecaman demi kecaman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sekutu rapat AS iaitu Israel tanpa berselindung mengundang reaksi kurang senang kedua-dua negara.
“Keberanian Anwar serta ketegasannya tanpa memilih pentas menyaksikan dia menonjol sebagai pemimpin Islam paling berani memperjuangkan hak rakyat Palestin,” katanya.