KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerlukan barisan kepimpinan yang komited dan bersedia bekerja keras bagi memperkukuhkan kedudukan parti, kata Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, parti itu tidak mempunyai ruang untuk individu yang gemar “merengek dan berleter” kerana sokongan rakyat yang diterima bukanlah mandat kosong sebaliknya amanah besar yang menuntut komitmen dan kesungguhan untuk berkhidmat.
“Kena sanggup bekerja dan kekal berjuang. Kalau tak mahu bekerja, lebih baik keluar. Fokus kita ialah menguatkan parti dan terus kekal.
“Kalau hanya berleter dan merengek tanpa henti, itu bukan pandangan membina. Kerja kita masih banyak,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PKR Selangor.

Dalam pada itu, Anwar yang mengetuai kerajaan perpaduan sejak 2022 berkata pentadbirannya mengambil tindakan tegas dan berterusan terhadap isu-isu besar negara, khususnya berkaitan rasuah dan penyelewengan.
Beliau menegaskan usaha membersihkan negara daripada amalan rasuah memerlukan sokongan semua pihak, walaupun tindakan tersebut melibatkan individu berpengaruh dan berisiko tinggi.
“Yang ditangkap itu orang besar, ada panglima tentera, menteri, bekas menteri, pengurus besar, Tan Sri. Itu tidak mengubah pendirian saya. Yang penting bagi saya ialah mandat rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli parti supaya terus fokus kepada perjuangan utama PKR iaitu membela nasib rakyat dan menyelamatkan negara daripada ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.
Anwar turut menggesa seluruh jentera PKR di Selangor agar bangkit sebagai satu pasukan, memperkukuh perpaduan dalaman serta menghidupkan kembali semangat perjuangan di semua peringkat parti.
Baca juga:








