Anwar minta Trump terus fokus keamanan di Gaza

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan berani apabila mengutarakan soalan peribadi kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tentang keseriusan pemimpin itu dalam memastikan keamanan dapat benar-benar berkekalan di Gaza.

Anwar turut memuji tindakan Trump yang dilihat berusaha mewujudkan kestabilan di bumi Palestin.

“Dan saya benar-benar gembira, Presiden, mendengar daripada anda, secara peribadi, bagaimana anda memastikan keamanan diterima di bahagian-bahagian yang paling tidak boleh diterima, hampir tak mungkin.

“Tetapi anda telah melakukannya, dan kami telah menunjukkan sokongan kami, bukan sahaja jiran, tetapi dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, yang dikenali sebagai Perjanjian Damai KL, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Ahad.

Katanya, soalan berkaitan Gaza itu diselitkan biar pun sedar ia melanggar protokol diplomat tanpa memaklumkan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden kerana usaha-usahanya menjaga keamanan di banyak bahagian dunia, terutamanya di Gaza, dan menyarankan kepadanya untuk tetap fokus serta memastikan keamanan berkelanjutan yang diperlukan oleh dunia,” ujarnya.

Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap kesungguhan Trump yang, menurutnya, berjaya melaksanakan langkah damai di kawasan yang disifatkan ‘hampir mustahil’ untuk didamaikan.

“Saya benar-benar gembira Presiden, mendengar secara peribadi bagaimana tekad anda untuk memastikan keamanan diterima di bahagian-bahagian yang paling sukar.

“Anda telah melakukannya, dan kami menunjukkan sokongan kami menyeru AS untuk terus mendapat dukungan bukan sahaja daripada jiran, tetapi juga dunia keseluruhannya,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat