Oleh: Syahirah Harish
IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang penekanan terhadap bahasa lain, seperti bahasa Inggeris, Cina, atau Tamil dalam sistem pendidikan negara, tidak seharusnya meminggirkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Beliau menyatakan bahawa usaha untuk menguasai bahasa-bahasa utama dunia adalah penting dalam dunia global yang semakin mencabar, namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan martabat bahasa Melayu.
Anwar turut mengingatkan bahawa bahasa Melayu mempunyai kedudukan istimewa yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan dasar Pendidikan Negara.
Oleh itu, beliau menyeru agar kedudukan bahasa kebangsaan ini dihormati dan terus diperkukuh terutama di kalangan generasi muda.
“Memang benar saya menekankan keperluan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, tetapi ini bukan ‘zero-sum game’.
“Penekanan kepada bahasa lain tidak seharusnya mengurangkan keutamaan terhadap penguasaan bahasa Melayu yang baik sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini pada Ahad.
Anwar turut menyeru sektor swasta untuk mengambil langkah yang sama dalam mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan komersial.

Beliau menekankan bahawa sektor swasta juga mempunyai peranan penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dengan memastikan penggunaannya yang meluas dalam urusan perniagaan dan komunikasi.
Dalam konteks pendidikan, beliau mengingatkan bahawa penekanan terhadap bahasa Melayu di sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah penting bagi melahirkan warganegara yang lebih memahami nilai-nilai kebudayaan tempatan.
Sistem persekolahan, menurutnya, harus mengutamakan pembelajaran bahasa Melayu tanpa mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa lain.
Selain itu, Perdana Menteri juga menggesa rakyat untuk menggunakan bahasa Melayu yang sopan dan beretika terutama di platform digital.
Menurutnya, bahasa yang kasar di media sosial boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat dan merosakkan keharmonian negara.
Bulan Bahasa Kebangsaan 2024, yang bertemakan ‘Bahasa Jiwa Bangsa: Sayangi Bahasa, Sayangi Negara’, dilancarkan dengan pelbagai program dan aktiviti yang bertujuan untuk memupuk kesedaran rakyat terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.
Anwar berharap seluruh rakyat akan terus menghargai bahasa kebangsaan sebagai simbol kekuatan dan identiti negara.
Beliau menegaskan bahawa pemerkasaan bahasa Melayu adalah tanggungjawab bersama dengan menghargai dan memelihara kedudukan bahasa itu, Malaysia akan terus membina sebuah negara yang lebih bersatu, harmoni dan progresif.
Baca juga: