PETALING JAYA: Penguatkuasaan berintegriti mesti terus diperkukuh dengan ketirisan dan penyeludupan tidak boleh dikompromi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, tindakan mesti lebih tegas serta konsisten di semua peringkat bagi memastikan hasil negara tidak bocor.
“Ketirisan dan penyeludupan tidak boleh dikompromi dan tindakan mesti lebih tegas serta konsisten di semua peringkat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pagi tadi.
Dalam ucapannya, Anwar turut menjelaskan krisis tenaga global yang kini melanda dunia akibat konflik di Asia Barat.
Menurutnya, gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kos pengangkutan, insurans dan risiko keselamatan, sekali gus melonjakkan harga tenaga di pasaran dunia.
“Walaupun bekalan masih wujud, kos untuk membawanya ke pasaran melonjak dan kesannya dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk berdepan cabaran ini, namun tekanan harga minyak dan bahan mentah global berada di luar kawalan negara.
Justeru katanya, kerajaan bertindak secara berhemah bagi menyeimbangkan perlindungan rakyat dengan keupayaan fiskal negara.
“Antara langkah utama yang dilaksanakan kerajaan termasuk subsidi diesel bersasar, di mana lebih 343,000 kenderaan pengangkutan barangan menikmati harga RM2.15 seliter, lebih 10,000 nelayan dilindungi pada kadar RM1.65 seliter, manakala lebih 350,000 penerima BUDI MADANI menerima bantuan tunai.
“Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada kadar RM2.15 seliter dengan perbelanjaan subsidi petrol dan diesel mencecah sehingga RM7 bilion bagi mengekang kos logistik dan harga barangan.
“Dalam sektor makanan, kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada pendekatan kawalan harga ayam dan telur yang lebih strategik,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu turut melibatkan rundingan serta penguatkuasaan lebih tegas terhadap kartel, memastikan harga kekal terkawal dan ada ketika lebih rendah berbanding tempoh subsidi.
Katanya, penjimatan subsidi pula disalurkan semula kepada golongan sasar seperti petani dan nelayan.
“Bagi sektor tenaga elektrik, penstrukturan tarif melindungi 85 peratus pengguna domestik daripada kenaikan bil.
“Sebanyak sembilan juta isi rumah menerima manfaat melalui Insentif Cekap Tenaga, selain rebat RM40 kepada isi rumah miskin tegar serta rebat khas kepada institusi pendidikan, kesihatan dan kebajikan.
“Mekanisme pelarasan automatik turut diperkenalkan bagi memastikan kos bahan api diurus secara adil tanpa membebankan rakyat,” katanya.
Anwar berkata, dalam segala keterbatasan, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh dasar dan pelaksanaan agar setiap langkah benar-benar meringankan beban rakyat, sambil memastikan ekonomi negara kekal stabil dalam menghadapi ketidaktentuan global.








