Anwar Tegas Integriti, Perangi Ketirisan Wang Awam

KUALA LUMPUR: Ketirisan wang awam dan salah guna kuasa bukan sahaja merencatkan tadbir urus negara, malah turut menjejaskan kesejahteraan rakyat termasuk aspek kesihatan awam, alam sekitar dan integriti nasional, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada Khamis.

“Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai dalam memerangi rasuah.

“Usaha ini perlu diperkukuh melalui pembudayaan integriti dan amalan tatakelola yang baik secara menyeluruh, melibatkan sektor awam, swasta serta masyarakat,” katanya.

Mesyuarat itu turut bersetuju melaksanakan Program Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Integrity Officer – CeIO) sebagai langkah mengukuhkan agenda pencegahan rasuah berasaskan penyertaan semua pihak.

Selain itu katanya, JKKTN juga memutuskan untuk memperkasa koordinasi strategik antara agensi bagi memastikan usaha pencegahan lebih berkesan.

“Kerajaan kekal fokus memperkasa agenda tatakelola demi memastikan integriti dan ketelusan terus menjadi teras perkhidmatan awam, menjunjung amanah rakyat dan memperteguh keyakinan terhadap institusi negara,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat