PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan langkah kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan istilah “menghina” dan “menjengkelkan” dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 sebagai tidak berperlembagaan.
Keputusan itu berpunca daripada cabaran undang-undang aktivis Heidy Quah, yang berjaya membatalkan peruntukan utama CMA sebelum ini digunakan untuk mendakwa kandungan dalam talian yang dianggap menyinggung atau menjengkelkan.
Bercakap kepada media, Anwar menegaskan reformasi institusi tidak boleh hanya bergantung kepada tafsiran mahkamah semata-mata.
“Mahkamah beri pandangan dan kita akan teliti. Jika ia selari dengan agenda reformasi, kerajaan terbuka untuk menerimanya,” katanya.
Beliau menambah, ada situasi yang memerlukan keseimbangan antara kebebasan rakyat dan kepentingan institusi lain.
“Sebagai contoh, isu perhimpunan haram. Raja-raja pernah bertitah bahawa kebebasan berhimpun tidak sepatutnya meliputi kawasan istana. Jadi perkara ini perlu ditimbang secara berhati-hati,” katanya lagi.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan di parlimen bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) bercadang untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu ke Mahkamah Persekutuan.
“Berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan, saya dimaklumkan AGC akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13.
Fahmi turut menjelaskan bahawa cadangan awal pindaan Seksyen 233 adalah jauh lebih ketat, namun selepas penelitian, versi yang dibentangkan hanya menjenayahkan kandungan yang dianggap “sangat menyinggung” (grossly offensive), dengan garis panduan jelas bagi mengelakkan tafsiran terlalu luas.
Baca juga: