PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah mengiktiraf kewujudan Israel secara diplomatik.
Beliau menolak tuduhan pembangkang bahawa Malaysia mengiktiraf Israel dan menegaskan bahawa negara itu tidak menghantar pegawai kedutaan atau menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sebagai langkah protes terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin.
Dalam pertemuan dengan delegasi media Malaysia semasa lawatan rasmi ke Peru, Anwar menjelaskan bahawa dalam konteks sistem antarabangsa, Israel wujud sebagai sebuah negara dalam keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, Malaysia tetap menolak pengiktirafan rasmi terhadap negara tersebut.
“Sebagai Ahli Parlimen, terutamanya dari parti Islam (PAS), kita sepatutnya mengelak dari amalan memperbodoh rakyat dan tegakkan hujah yang adil,” kata Anwar.
Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia tetap komited dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan dalam banyak forum antarabangsa, malah Malaysia tidak pernah berhenti menyuarakan penentangannya terhadap penjajahan dan kezaliman yang dilakukan oleh Israel.
Isu berkenaan berbangkit berikutan wawancara Anwar bersama stesen televisyen CNN baru-baru ini yang menjadi tular apabila disunting sedemikian rupa sehingga menimbulkan dakwaan seolah-olah Malaysia mengiktiraf negara haram Israel.
Dakwaan itu kebanyakannya datang daripada pembangkang dan turut dibangkitkan di Parlimen.








