Anwar Tegas Tidak Campur Tangan Urusan Audit

PUTRAJAYA: Tidak mencampuri atau mengubah audit yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN), tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, pendirian untuk tidak campur tangan dalam hal berkenaan merupakan komitmen kerajaan terhadap kebebasan institusi dan usaha membina semula kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

“Saya telah beritahu jemaah menteri, saya tidak menentukan apa kandungan laporan audit. Mereka maklumkan kepada saya, beberapa minggu lepas.

“Tapi, bukan untuk saya campur tangan atau ubah laporan tersebut. Hanya makluman sebelum laporan dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen untuk perbahasan umum. Inilah maksud sebenar tadbir urus dan ketelusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Tegas Anwar, keutamaan kerajaan dalam memartabatkan akauntabiliti dan integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemah melalui tindakan seperti memberi kebebasan penuh kepada institusi audit menjalankan tugas tanpa gangguan.

“Sebab itu bagi saya, sangat penting untuk institusi audit diberi kuasa untuk beroperasi secara bebas dan mengikuti jejak akauntabiliti ke mana sahaja ia membawa.

“Saya berdiri di sini sebagai Perdana Menteri menyatakan ia bukan sesuatu yang mudah. Kita ada Ketua Audit Negara yang tegas. Namun, beliau hanya menjalankan tugas,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat