SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan ekonomi dan teknologi negara perlu digerakkan seiring dengan penghayatan nilai kemanusiaan menerusi sastera dan budaya bagi memastikan kemajuan yang berakar pada sejarah dan jati diri bangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Dialog Antarabangsa Sastera & Budaya Selangor (DASA) 2026 malam tadi, yang menghimpunkan sasterawan serta budayawan dari dalam dan luar negara.
Anwar berkata, beliau tersentuh dengan persembahan deklamasi syair, keroncong dan puisi yang dipersembahkan, khususnya puisi Padang Kita oleh Azmi Ismail dan Aflieza Arshad yang disampaikan dengan penuh penghayatan.
“Saya melihat sastera dan budaya sebagai wadah penting untuk membina kesedaran serta memastikan kemajuan negara terus berakar pada sejarah dan pengalaman bangsanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan terhadap usaha Kerajaan Selangor yang berjaya memacu pembangunan negeri tanpa mengabaikan jiwa kemanusiaan melalui penganjuran kegiatan sastera dan budaya yang segar serta berkesan.
Anwar berkata, pendekatan sama turut digerakkan Kerajaan MADANI menerusi usaha menghidupkan semula Kuala Lumpur sebagai kota budaya dan sejarah, termasuk pemulihan warisan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.
“Pemulihan warisan ini bukan sekadar fizikal, tetapi sarat dengan pengisian makna, kisah perjuangan serta lambang kedaulatan dan penolakan terhadap penjajahan serta penindasan, selari dengan roh MADANI,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), KEMUDI, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Universiti Selangor atas komitmen berterusan memartabatkan warisan kesusasteraan dan kebudayaan negara.
Baca juga:








