Anwar tegaskan tiada rundingan selagi serangan di Gaza berterusan

PUTRAJAYA: Malaysia menegaskan pendiriannya untuk tidak menyokong sebarang bentuk rundingan selagi kekejaman dan serangan ke atas Gaza tidak dihentikan sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah mustahil untuk berbincang dengan pihak yang terus melakukan pembunuhan dan penjajahan terhadap rakyat Palestin.

“Pendirian kita jelas, hentikan keganasan, hentikan genosid, hentikan pembunuhan, hentikan penjajahan ke atas Gaza dan Palestin. Tiada rundingan sebelum itu.

“Mana boleh kita runding dengan orang yang bunuh hari-hari… kamu datang rumah saya, rampas, bunuh anak isteri saya, kemudian tanya boleh runding atau tidak. Tidak mungkin itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Lembaga Penasihat Yayasan Restu/Nasyrul Quran, Tan Sri Dr Aseh Che Mat.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, Malaysia tetap menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, namun mengambil pendekatan berhati-hati terhadap Deklarasi New York yang mengandungi beberapa prasyarat yang bercanggah dengan dasar luar negara.

“Sokongan kita terhadap Palestin kekal sejak dahulu lagi. Cuma kita kurang selesa dengan dapatan Deklarasi New York kerana ia tidak dibincang secara menyeluruh bersama negara anggota PBB,” katanya.

Malaysia sebelum ini menyokong usaha kumpulan The Hague Group dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik Gaza, namun meneliti setiap cadangan dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan pendirian tegas negara terhadap isu Palestin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat