Anwar Tegur Barat Hipokrit Isu Gaza

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lantang menegur sikap sebahagian kuasa besar Barat yang disifatkan hipokrit dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Dalam hantaran di Facebook beliau pada Sabtu, Anwar berkata, negara-negara Barat yang sering melaungkan prinsip hak asasi manusia jelas gagal mengamalkannya secara konsisten apabila berdepan isu di Asia Barat.

“Inilah wajah hipokrasi yang nyata dan tidak boleh kita terima.

“Mereka berbicara lantang tentang hak asasi manusia tetapi apabila berdepan pembunuhan, kezaliman dan perampasan tanah, prinsip itu menjadi selektif dan dipolitikkan mengikut kepentingan,” katanya.

Beliau menyampaikan teguran itu ketika sesi Temu Anwar bersama pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sambil menekankan bahawa dunia kini berdepan ketidaktentuan yang semakin meruncing akibat konflik berpanjangan di Asia Barat.

Anwar turut menzahirkan kebimbangan terhadap serangan berterusan Israel terhadap Iran yang didakwa mendapat sokongan Amerika Syarikat, sekali gus mencetuskan kitaran keganasan tanpa henti.

“Apabila kecerdasan tidak disertai nurani, ia hanya melahirkan kekuatan tanpa kemanusiaan,” katanya.

Menyentuh soal pendidikan, Anwar menekankan keperluan melahirkan generasi seimbang, bukan sahaja cemerlang daripada segi intelek tetapi juga berakar pada nilai, akhlak dan keinsafan.

Beliau merujuk konsep ‘excellence without a soul’ yang diketengahkan oleh ahli akademik Universiti Harvard, Harry R. Lewis, sebagai peringatan terhadap risiko melahirkan generasi tanpa jiwa.

Dalam sesi itu, Anwar turut mengimbau kenangan ketika menuntut di MCKK yang disifatkan sebagai asas penting dalam membentuk pemikiran dan disiplin hidupnya.

“Saya kemudiannya ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), kembali menjejak kenangan di alma mater yang banyak membentuk asas pemikiran, disiplin dan perjalanan hidup saya.

“Sempat menghimbau saat bersama rakan dan guru-guru yang jasanya tidak terdaya saya lupakan atau mampu dibalas kerana budi mereka terlalu tinggi dan mulia,” jelas Anwar.

Anda Mungkin Berminat