PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pihak tertentu yang menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung isu kenaikan harga minyak kerana tindakan itu boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, terdapat segelintir pihak yang pantas membuat kesimpulan tanpa merujuk fakta sahih, malah cuba menjadikan pandangan tersebut sebagai kebenaran mutlak.
“Umpamanya isu Selat Hormuz ada beberapa komen daripada orang politik ini yang dengan cepat dia… apa yang kita dia terus percaya ‘half truth’ dan bertukar kepada ‘absolute truth’.
“Maknanya fahaman dia yang sedikit itu kemudian dia mutlakkan pandangan itu kepada sesuatu yang pasti,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian bersempena perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan di Dewan Sentral RAC, Putrajaya pada Khamis.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam Islam, menerusi Surah Al-Baqarah, umat Islam diingatkan agar tidak mencampurkan kebenaran dengan kebatilan serta sentiasa mencari fakta yang benar.
Perdana Menteri kemudian menjelaskan bahawa kos penghantaran minyak meningkat secara ketara apabila kapal daripada Petronas yang melalui Selat Hormuz terpaksa menggunakan laluan lain, sekali gus menyebabkan kos insurans dan pengangkutan melonjak lebih 100 peratus.
“Kos yang asalnya rendah untuk diproses kini meningkat dan memberi kesan kepada harga minyak di pasaran,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengkritik pandangan sesetengah individu yang mendakwa hanya Malaysia sahaja mengalami kenaikan harga minyak.
Menurutnya, kenyataan sebegitu mencerminkan kedangkalan ilmu pihak berkenaan sehingga boleh mengelirukan rakyat.
“Kenyataan-kenyataan itu turut disalut dengan pandangan agama yang menyebabkan ramai mudah terpengaruh dan sedangkan ianya tidak membantu rakyat malah memperburukkan lagi keadaan,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus berusaha menjalankan reformasi berlandaskan prinsip-prinsip Islam, demi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang tepat dan tidak terperangkap dengan maklumat yang mengelirukan.








