KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia terhadap keamanan serantau dan penyelesaian yang adil serta berkekalan bagi konflik di Gaza, ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 yang berlangsung pada Isnin.
Anwar menyambut baik pelan komprehensif yang diumumkan bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza, sambil menekankan keperluan pemantauan rapi agar pelaksanaan pelan tersebut benar-benar menjamin keadilan dan kedamaian buat rakyat Palestin.
“Kita mengalu-alukan rancangan komprehensif bagi menamatkan kegilaan, genosid dan kekejaman yang berlaku.
“Namun, ia mesti dipantau rapi agar wujud keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan untuk Palestin,” katanya.
Anwar turut menyeru agar pendekatan dialog dan kerjasama terus diutamakan dalam menangani isu-isu serantau berbanding paksaan dan konfrontasi yang hanya menambah ketegangan.
“Kita perlu terus menggalakkan rundingan yang berprinsip dan berpandangan jauh.
“ASEAN harus kekal menjadi pemacu kepada keamanan, kestabilan dan kerjasama serantau,” katanya lagi.
Sidang kemuncak tahun ini turut mencatat sejarah dengan penglibatan pemimpin dari Brazil dan Afrika Selatan, yang menurut Anwar, mencerminkan perluasan kerjasama global antara Asia, Amerika Latin dan Afrika.








