Anwar Tekankan Kerjasama Inklusif Asas Keamanan Global di APEC 2025

REPUBLIK KOREA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya kepercayaan, dialog dan kerjasama inklusif dalam menjamin keamanan serta kemakmuran sejagat.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Republik Korea.

“Keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan. Prinsip ini turut terpakai dalam konteks Gaza dan Ukraine, penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan, adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Anwar turut menegaskan bahawa APEC kekal sebagai pelopor semangat keterbukaan dan kerjasama sukarela dalam membentuk norma ekonomi global yang adil.

“APEC sedang memupuk idea baharu untuk menghadapi cabaran masa depan termasuk pertumbuhan hijau, transformasi digital, rantaian bekalan berdaya tahan dan keselamatan makanan. Semua ini seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI demi manfaat rakyat,” ujarnya.

Beliau menyeru agar APEC memperluas penglibatan dengan rantau lain demi keseimbangan ekonomi dunia.

“APEC mesti menjadi jambatan antara Asia Pasifik, Amerika Latin dan Afrika untuk membina tatanan ekonomi global yang lebih saksama antara Utara dan Selatan Global,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat