PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan institusi wakaf sebagai sebahagian daripada warisan umat Islam dalam membina kekuatan dari peringkat akar umbi bagi memartabatkan agenda bangsa Melayu dan Bumiputera.
Ketika berucap pada majlis peluncuran Wakaf MARA MADANI hari ini, beliau menekankan bahawa platform itu perlu diurus secara profesional mengikut prinsip yang ditetapkan syariah.
“Mana-mana institusi wakaf berperanan penting bagi membantu pengagihan seadilnya dalam pelbagai sektor termasuk kebajikan, keusahawanan, pengangkutan, kesihatan dan juga sebagai aset wakaf itu sendiri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Melayu dan Bumiputera perlu memberi fokus kepada masa depan serta tidak terpalit dengan isu-isu lama seperti agama dan perkauman yang sering menjadi medan perdebatan tanpa penghujung.
“Dalam pertempuran dan persaingan idea yang sengit, Melayu dan Bumiputera seharusnya memberi fokus kepada masa hadapan, bukannya terbelit dengan isu-isu lama,” ujarnya.
Selain itu, Perdana Menteri menekankan kepentingan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dunia yang membawa perubahan kepada kehidupan seharian.
“Semua pihak perlu berjalan seiring dengan perubahan teknologi dunia, sekaligus membawa perubahan dalam pemikiran serta pemahaman terhadap sesuatu perkara,” tambahnya.
Peluncuran Wakaf MARA MADANI diharap dapat menjadi platform yang memperkukuh institusi wakaf sebagai instrumen penting dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Baca juga: