Anwar Tekankan Warisan Sebagai Teras Kemajuan Bangsa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin merasmikan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara, sebuah monumen bersejarah yang menjadi saksi kepada perjalanan panjang pembentukan negara bangsa.

Dalam ucapannya, beliau berkata, kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada usaha memperkukuh jati diri bangsa dan memelihara warisan budaya tempatan.

“Penguasaan teknologi baharu sebagai pemacu kemajuan negara mesti dilaksanakan seiring dengan usaha memperkukuh jati diri bangsa, mengangkat sejarah serta memelihara warisan budaya tempatan,” katanya.

Seri Negara, bersama Projek Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL), menjadi simbol iltizam Kerajaan MADANI untuk menghidupkan semula aset warisan negara sebagai pemangkin ekonomi, pemerkasaan komuniti dan pembinaan identiti kota.

“Pemuliharaan bangunan bersejarah seperti Seri Negara selain Projek Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL), mencerminkan iltizam Kerajaan untuk menghidupkan semula aset warisan negara sebagai pemangkin ekonomi, pemerkasaan komuniti dan pembinaan identiti kota,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, usaha pemuliharaan bukan sekadar kerja fizikal tetapi sebahagian daripada visi besar membentuk bandar raya yang bersih, maju, mesra alam dan berjiwa.

“Inisiatif ini bukan gebang kosong atau sekadar usaha fizikal memelihara tinggalan sejarah tetapi sebahagian daripada visi besar untuk membentuk sebuah bandar raya yang bersih, maju, mesra alam dan berjiwa,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan memastikan pembangunan bandar tidak melahirkan kota yang ‘gersang budaya’.

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan pembangunan bandar tidak melahirkan kota yang ‘gersang budaya’, sebaliknya berkembang sebagai persekitaran yang lestari, hijau seraya berpaksikan nilai kemanusiaan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara,” jelas beliau.

Anda Mungkin Berminat