Anwar Terima Anugerah Profesor Kehormat Dari Universiti Tsinghua

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Universiti Tsinghua telah menganugerahkan jawatan Profesor Kehormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke China.

Anwar menyatakan rasa berbesar hati menerima anugerah tersebut dari sebuah institusi yang terkenal dengan kemajuan dalam sains, teknologi dan inovasi.

“Saya menerima penghormatan ini bagi pihak rakyat Malaysia sebagai simbol persahabatan yang berkekalan antara negara-negara kita dan aspirasi bersama untuk keamanan, kemajuan dan kemakmuran,” kata Anwar dalam kenyataannya.

Beliau juga menekankan pentingnya dialog dan kerjasama untuk mengatasi perpecahan dan konflik.

“Melalui dialog, kita boleh menolak situasi ini, sebaliknya memilih untuk meningkatkan cita-cita persefahaman, saling menghormati dan pengetahuan,” katanya.

Anwar juga berharap anugerah yang diterima ini menandakan permulaan kerjasama yang lebih besar antara Universiti Tsinghua dan institusi Malaysia.

Ujarnya, melalui pertukaran akademik dan budaya, kita boleh memupuk generasi baharu pemimpin yang berasaskan penghayatan tulen terhadap budaya, perspektif dan aspirasi masing-masing.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Universiti Tsinghua dan kerajaan China atas penghormatan yang luar biasa ini.

“Marilah kita belajar daripada satu sama lain dengan kerendahan hati, keterbukaan dan semangat yang melampaui dirinya,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat