PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menerima kunjungan hormat delegasi BlackBerry Limited yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden, John Giamatteo, bersama pimpinan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pertemuan itu memberi fokus kepada usaha memperkukuh kompetensi tempatan dalam bidang keselamatan siber dan teknologi masa depan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, penubuhan Malaysia CyberSecurity Centre of Excellence (CCoE) di Cyberjaya sejak 2024 telah membawa impak besar.
“Alhamdulillah, penubuhan Malaysia CyberSecurity Centre of Excellence (CCoE) di Cyberjaya sejak 2024 telah memberi manfaat besar menerusi pelbagai kursus dan persijilan keselamatan siber yang melibatkan hampir 10,000 penjawat awam serta profesional ICT dalam menghadapi ancaman siber dan cabaran pasca kuantum yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau turut dimaklumkan mengenai kerjasama strategik yang sedang digerakkan termasuk program Smart Campus, pembangunan teknologi BlackBerry QNX bagi sektor kenderaan elektrik, semikonduktor dan automasi industri serta inovasi Alat Dialisis Mudah Alih PeritoCare hasil kepakaran anak tempatan.
Anwar berkata, sinergi antara kerajaan, industri dan akademia perlu terus diperkasa demi mengangkat inovasi serta teknologi ciptaan anak Malaysia ke persada dunia.
“Semoga sinergi kerajaan, industri dan akademia terus diperkasa demi mengangkat inovasi serta teknologi ciptaan anak Malaysia ke persada dunia,” kata beliau.








