Anwar Terima Jemputan El-Sisi Hadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza Di Mesir

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima perkembangan terkini mengenai Pelan Damai Gaza dalam satu perbualan telefon bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, petang Sabtu.

Perbualan itu menyentuh pelbagai aspek penting dalam usaha menjamin keamanan dan pemulihan wilayah bergolak tersebut.

Menurut Anwar, Presiden El-Sisi memaklumkan bahawa fokus semasa adalah terhadap usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza.

Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik untuk mengelakkan sebarang alasan yang boleh digunakan oleh rejim Zionis bagi melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan.

“Presiden El-Sisi memaklumkan bahawa tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza agar rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.

Fasa kedua pelan damai turut dibincangkan, beliau berkata, ia melibatkan pembinaan semula Gaza, perlindungan terhadap Tebing Barat serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).

Inisiatif itu katanya, dilihat sebagai langkah penting ke arah kestabilan jangka panjang di wilayah Palestin.

Dalam perbualan tersebut, Presiden El-Sisi turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Anwar untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang bakal berlangsung di Mesir.

Persidangan itu dijangka menjadi platform utama untuk memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap usaha pemulihan Gaza yang telah lama terjejas akibat konflik berterusan.

“Dalam kesempatan tersebut, Presiden El-Sisi turut menyampaikan jemputan kepada saya untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan berlangsung di Mesir sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza,” katanya.

Presiden Mesir turut menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan akan membawa hasil yang positif, memandangkan peranannya yang signifikan dalam menjamin keamanan berkekalan di Gaza.

Anwar dan El-Sisi turut menyatakan kesepakatan dalam mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan serta menyelaras pelaksanaan misi bantuan kepada rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan.

“Kami sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat