PETALING JAYA: Satu kunjungan hormat daripada Pengerusi Indorama Corporation, Sri Prakash Lohia bersama delegasi korporat syarikat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Pertemuan tersebut bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik antara Malaysia dan syarikat mega dari Indonesia itu, merangkumi pelbagai sektor utama.
Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Perdana Menteri, perbincangan itu selari dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang digariskan oleh kerajaan.
“Ditubuhkan di Indonesia pada 1975, Indorama kini merupakan antara pengeluar global utama dalam sektor baja, polimer, gentian, benang dan sarung tangan perubatan dengan kehadiran di 39 negara dan perolehan tahunan mencecah USD 23 bilion (RM97.75 bilion) ,” kata Anwar.
Di Malaysia, katanya, Indorama kini terlibat dalam pengeluaran sarung tangan perubatan dan merancang untuk memperluas pelaburannya dalam industri baja dengan nilai mencecah RM6 bilion.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memudah cara proses pelaburan tersebut sambil menekankan impaknya terhadap ekonomi dan rakyat tempatan.
“Kami bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dalam kerangka Ekonomi MADANI dan saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan memudah cara proses pelaburan ini.
“Pelaburan strategik seperti ini bukan sahaja mengukuhkan ekonomi negara, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan tempatan,” katanya.