Anwar terima kunjungan delegasi pimpinan Muhammadiyah

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat delegasi pimpinan Muhammadiyah yang diketuai Ketua Umumnya, Prof. Dr Kiyai Haji Haedar Nashir.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau sempat menyinggung beberapa pengalaman silam dengan tokoh lama pertubuhan Islam Indonesia itu seperti Buya Hamka.

Selain itu, beliau bersama delegasi pimpinan Muhammadiyah turut berbincang mengenai idea Madani yang sebelum ini dikemukakan peringkat awal di Festival Istiqlal di Jakarta.

Ujarnya, beliau bersama pemikir lain mencari perspektif yang lebih tepat berbanding memakai istilah masyarakat sivil (civil society) supaya Madani dipilih kerana sarat dengan nilai dan maknanya yang tersendiri.

“Dalam pertemuan ini, kami juga bertukar pandangan mengenai cabaran besar umat Islam khususnya dalam bidang pendidikan, peradaban serta perkembangan geopolitik semasa yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rantau ini.

“Pertemuan seperti ini bukan sahaja penting dalam mengeratkan silaturahim antara Malaysia dan Indonesia, malah ia akan memperteguhkan keyakinan dan iktikad baik kita untuk terus berkerja kuat,” katanya.

Tambah Anwar, beliau percaya melalui kerja keras dan kemahuan yang tinggi, Malaysia dan Indonesia boleh berkerja rapat dalam mengisi harapan ini.

Anda Mungkin Berminat