PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, di Putrajaya, hari ini.
Pertemuan itu menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang ekonomi dan teknologi yang menjadi kepentingan bersama.
Selain itu, katanya, pensijilan halal turut menjadi agenda utama perbincangan.
“Perbincangan turut menyentuh soal Kepengerusian ASEAN 2025 dengan penekanan khusus pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata, Malaysia juga mengambil kesempatan itu untuk mengundang Presiden Trump menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.