PETALING JAYA: Satu kunjungan hormat Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan bagi menandakan pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura khususnya dalam aspek keselamatan serantau.
Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan kerjasama strategik dalam bidang keselamatan dan pertahanan, sejajar dengan aspirasi ASEAN untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
“Kami berbincang secara terbuka tentang langkah-langkah memperkukuh keselamatan dan pertahanan serantau bagi memastikan keamanan dan kestabilan berterusan di rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada Singapura atas sokongan berterusan negara itu dalam usaha dialog damai antara Kemboja dan Thailand.
“Sokongan mereka (Singapura) amat dihargai dan membuktikan komitmen bersama terhadap penyelesaian diplomatik di rantau ini,” katanya lagi.
Sempena ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada negara jiran itu dan menyatakan harapan terhadap kejayaan Sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin Malaysia-Singapura yang dijadual berlangsung Disember ini.
“Pertemuan tahunan ini penting untuk memperkukuh hubungan strategik dan membincangkan inisiatif baharu bagi manfaat kedua-dua negara,” katanya.