ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Ankara bagi memulakan lawatan rasmi ke Republik Türkiye atas undangan Presiden Recep Tayyip Erdoğan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Anwar menzahirkan rasa syukur atas kelancaran perjalanan serta harapan agar pertemuan yang dirancang membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara.
“Alhamdulillah, selamat tiba di Ankara, Republik Türkiye bagi memulakan lawatan rasmi atas undangan sahabat baik saya, Presiden Recep Tayyip Erdoğan.
“Mohon doa semua agar setiap rencana pertemuan serta perbincangan yang berlangsung sepanjang berada di Republik Türkiye ini membuahkan hasil yang bermakna buat rakyat dan negara,” katanya.
Lawatan rasmi itu mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Türkiye yang telah lama terjalin khususnya dalam bidang perdagangan, pendidikan, pertahanan serta kerjasama budaya.
Türkiye merupakan antara rakan strategik Malaysia di rantau Eurasia dengan nilai perdagangan dua hala yang terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain hubungan diplomatik, ikatan peribadi antara Anwar dan Erdoğan turut menjadi faktor penting dalam memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.
Erdoğan sebelum ini pernah menzahirkan sokongan terhadap Malaysia dalam pelbagai isu antarabangsa termasuk memperjuangkan hak kemanusiaan dan solidariti dunia Islam.
Sepanjang berada di Türkiye, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden Erdoğan serta beberapa pemimpin utama negara itu.
Perbincangan dijangka menyentuh kerjasama ekonomi dan perdagangan, peluang pelaburan baharu, pertukaran kepakaran dalam bidang pendidikan dan teknologi, usaha memperkukuh hubungan pertahanan dan keselamatan serantau serta peranan bersama dalam isu kemanusiaan dan solidariti dunia Islam.








