BUSAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan langkah pertama misi Diplomasi MADANI di pentas antarabangsa apabila tiba di Busan, Korea Selatan, sebelum meneruskan perjalanan ke Gyeongju bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025.
Kehadiran Malaysia dalam sidang berprestij itu dijangka membuka ruang penting untuk memperkukuh kerjasama serantau, memperluas perdagangan yang adil dan memperkasa agenda kemampanan global.
Dalam satu hantaran di laman Facebook, Anwar menyatakan harapan agar misi diplomasi itu membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat.
“Annyeonghaseyo! Tiba di Busan, Republik Korea, sebelum meneruskan perjalanan ke Gyeongju bagi memulakan misi Diplomasi MADANI di pentas Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025.
“Di luar kerangka APEC, saya turut dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa peneraju industri utama termasuk pihak NVIDIA bagi membincangkan potensi pelaburan strategik serta peluang memperkukuh ekosistem teknologi dan inovasi di Malaysia.
“Moga segala urusan dipermudah dan misi ini membawa manfaat besar buat negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Pertemuan luar sidang APEC bersama syarikat teknologi gergasi seperti NVIDIA menandakan usaha berterusan Malaysia untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab inovasi digital di rantau Asia.
Misi diplomasi itu juga dijangka memperkukuh naratif Malaysia Madani di pentas antarabangsa dengan penekanan terhadap nilai keterangkuman, kemajuan dan kesejahteraan sejagat.








