Anwar Tiba Di Johannesburg Hadiri Sidang Kemuncak G20

JOHANNESBURG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat tiba di Johannesburg, Republik Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 atas jemputan rasmi Presiden Matamela Cyril Ramaphosa.

Undangan tersebut dilihat sebagai simbol komitmen Afrika Selatan untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia, berteraskan persahabatan, saling menghormati dan aspirasi bersama sebagai sebahagian daripada Negara-Negara Selatan (Global South).

Dalam satu hantaran di Facebook miliknya, Anwar berkata, kehadiran Malaysia di sidang kemuncak kali ini bukan sekadar menghadiri persidangan tetapi mencerminkan tekad negara untuk memperkukuh solidariti Global South serta meneroka kerjasama strategik demi manfaat bersama.

“Insya-Allah, penyertaan dalam Sidang Kemuncak G20 kali ini membuka ruang penting untuk saya berkongsi aspirasi serta pencapaian selaku Pengerusi ASEAN 2025, selain mengemukakan suara Malaysia dalam isu mendesak yang memberi kesan kepada rantau dan dunia.

“Saya menaruh keyakinan bahawa kehadiran Malaysia di Johannesburg bukan sekadar menghadiri persidangan, sebaliknya cerminan tekad kita untuk memperkukuh solidariti Global South.

“Di samping meneroka kerjasama yang lebih bermakna dalam pelbagai bidang strategik demi manfaat bersama,” katanya.

Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN 2025
Sidang Kemuncak G20 kali ini turut menjadi platform penting bagi Malaysia untuk menonjolkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan fokus kepada isu-isu global yang memberi kesan langsung kepada rantau Asia Tenggara.

Anda Mungkin Berminat