PARIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat tiba di ibu negara Perancis untuk memulakan lawatan rasmi atas undangan Presiden Republik Perancis, Emmanuel Macron.
Dalam lawatan berprofil tinggi itu, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Macron di Istana Élysée bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala yang sudah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Insya-Allah, esok (Jumaat) saya akan mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Macron di Istana Élysée, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Perancis yang sedia terjalin,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, lawatan itu turut membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan dan hubungan antara rakyat.
Perdana Menteri juga dijadual menyertai Sesi Meja Bulat bersama tokoh industri utama Perancis, selain menyampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne, salah satu institusi akademik terulung di Eropah.
“Semoga lawatan ini akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Perancis, demi manfaat bersama dan kemajuan serantau serta global,” ujar beliau lagi.