Anwar Tiba Di Singapura Sempena Pemukiman Malaysia-Singapura Ke-12

SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Singapura tepat pukul 10.39 pagi bagi memulakan lawatan kerja sehari untuk menghadiri ’12th Malaysia-Singapore Leaders’ Retreat’.

Kehadiran beliau disambut mesra oleh rakan sejawat, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dalam suasana penuh simbolik sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura.

Acara berprestij yang berlangsung di The Ritz-Carlton, Millenia Singapura itu menjadi pentas utama kedua-dua negara menilai pencapaian kerjasama, membincangkan isu serantau serta menandatangani beberapa perjanjian baharu.

Dalam pertemuan hari ini, Malaysia dan Singapura dijadualkan menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dan satu perjanjian rasmi melibatkan kerjasama dalam bidang pencegahan dadah, kesihatan serta belia dan sukan.

Selain itu, kedua-dua pemimpin akan meninjau perkembangan projek bersama dalam sektor perdagangan, pelaburan, tenaga, pengangkutan dan keselamatan sempadan.

Perbincangan turut dijangka menyentuh cabaran geopolitik serantau, peranan ASEAN serta peluang baharu dalam ekonomi digital dan tenaga hijau.

Lawatan sehari itu turut diserikan dengan jamuan tengah hari rasmi yang dianjurkan oleh Lawrence Wong bagi meraikan Anwar dan delegasi Malaysia.

Untuk info, ‘Leaders’ Retreat’ yang mula diadakan sejak 2007 merupakan forum tertinggi antara Malaysia dan Singapura, diadakan secara bergilir setiap tahun.

Tahun ini, pertemuan menjadi lebih bermakna kerana bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik, menjadikan ia detik bersejarah dalam perjalanan dua negara jiran yang saling bergantung.

Lawatan Anwar ke Singapura dilihat sebagai peluang penting untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, sosial dan budaya, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Singapura.

Anda Mungkin Berminat