Anwar Tiba Di Timor-Leste: Perkukuh Hubungan Dua Hala, Sokong Hasrat Sertai ASEAN

DILI, TIMOR-LESTE: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan lawatan rasmi bersejarah selama dua hari ke Timor-Leste, dengan misi memperkukuh hubungan dua hala dan menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap hasrat negara itu untuk menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Nicolau Lobato pada pukul 2.43 petang waktu tempatan (1.43 tengah hari waktu Malaysia), disambut penuh hormat oleh Presiden Timor-Leste Dr José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão.

Turut hadir menyambut ketibaan ialah Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh serta Ketua Protokol Negara Timor-Leste, Juvencio Martins.

Anwar diiringi oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bersama delegasi pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Majlis sambutan rasmi turut diserikan dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan statik dan penyampaian simbolik kain Tais iaitu tekstil tenunan tradisional Timor-Leste yang kaya dengan nilai budaya dan warisan.

Persembahan kebudayaan dan pancaragam sekolah menambah warna kepada detik bersejarah itu.

Lawatan itu bukan sekadar simbol diplomatik tetapi manifestasi solidariti serantau.

Malaysia menyatakan komitmen teguh untuk menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN, satu langkah penting yang bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Anda Mungkin Berminat