PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-100 kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sambil menzahirkan doa dan penghargaan atas sumbangan besar negarawan itu kepada negara.
Dalam satu kenyataan ringkas yang turut menyebut isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Anwar mendoakan agar Tun Mahathir terus dikurniakan kesihatan, ketenangan dan kekuatan untuk menjalani kehidupan dengan penuh makna.
“Saya dan Azizah mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa, dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Anwar turut menyifatkan gaya hidup sihat serta semangat berbakti Tun Mahathir sebagai satu contoh penting buat negara yang kini sedang melalui fasa penuaan penduduk.
“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi,” katanya lagi.
Tun Dr. Mahathir, yang genap berusia 100 tahun hari ini, merupakan Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negara yang memegang jawatan tersebut selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 dan kembali menerajui negara buat kali kedua pada 2018.
Beliau dikenang sebagai tokoh yang membawa perubahan besar dalam landskap ekonomi dan pembangunan Malaysia, dan terus aktif menyuarakan pandangan walaupun selepas persaraan.
“Semoga Allah SWT terus merahmati Tun, Insya-Allah,” ujar Anwar, menutup ucapannya dengan doa penuh makna kepada tokoh yang pernah menjadi mentornya suatu ketika dahulu.
Baca juga: