Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis sekeras-kerasnya terhadap dakwaan bahawa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan terhadap tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.
Anwar berkata perkhabaran itu adalah tidak benar dan bersifat penipuan.
“Jadi, tiga-tiga itu dimasuk ke Sabah dakwaan berkenaan Malaysia menyerah seluas 5,207 hektar kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga buah kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan kalau pun tidak niat jahat sama sekali.
“Jadi sebab itu kita harus terikat dengan perjanjian dan yang dapat dipertikai saya lihat itu di peta di belah bawah itu adalah kawasan dari awal sejak 1919 ditekankan dalam semua rekod kita menjelaskan ia tidak kita sahkan tapi tidak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Khas mengenai isu jajaran Sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat pada Rabu.
Anwar turut menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak dapat menerima kenyataan bahawa terhadap sesetengah pihak yang disifatkan menghina usaha negara khususnya pengorbanan pegawai terlibat dalam melaksanakan tugasan lapangan bagi menyelesaikan isu persempadanan dengan negara jiran.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai bahagian hal ehwal persempadanan, topografi, Jabatan Peguam Negara, pemetaan serta anggota tentera yang terlibat dan terpaksa meredah hutan belantara bagi memastikan pemuktamadan peta sempadan.
“Walaupun pembangkang memilih untuk tidak menyatakan penghargaan kepada pegawai terlibat, tidak perlulah mengeluarkan kenyataan biadab dan menghina. Jika tidak mengetahui sesuatu perkara, bertanyalah dan jangan memaki hamun,” katanya.
Baca juga:








