PETALING JAYA: Malaysia menggesa Kemboja dan Thailand agar bertenang serta kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan demikian setelah menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump malam tadi.
“Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja–Thailand, di mana kami berbincang hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.
“Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi dan menyokong langkah penyaheskalasian,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan ASEAN serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Dalam pertempuran terbaru, Kementerian Pertahanan Kemboja melaporkan dua orang awam terbunuh akibat serangan peluru berpandu Thailand, manakala Thailand pula mendakwa serangan udara mereka adalah tindak balas terhadap pergerakan ketenteraan Kemboja yang dianggap mengancam keselamatan wilayahnya.
Konflik ini mencabar semula gencatan senjata yang dimeterai Julai lalu dengan pengantaraan Malaysia dan Amerika Syarikat, selepas lima hari pertempuran yang mengorbankan puluhan nyawa dan memaksa lebih 100,000 orang berpindah.
Baca juga:







