PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Surau Al-Quddus, PPAM Saderi, Presint 16 di Putrajaya.
Khutbah Jumaat bertajuk ‘Menabur Bukti, Menuai Syurga’ yang disampaikan menekankan kepentingan memuliakan warga emas sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan generasi terdahulu.
Anwar berkata, mesej khutbah itu wajar dijadikan pedoman agar masyarakat tidak melupakan golongan berusia yang banyak berjasa kepada keluarga dan negara.
“Khutbah hari ini mengingatkan kita tentang tanggungjawab memuliakan warga emas, generasi yang telah banyak berbakti dan berjasa,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Beliau turut menzahirkan harapan agar nilai kasih sayang terus dipupuk dalam kalangan rakyat, bukan hanya sesama ahli keluarga tetapi juga dalam masyarakat secara keseluruhan.
“Semoga kita semua tergolong dalam kalangan insan yang menabur bakti dan kasih di dunia, demi menuai ganjaran syurga di akhirat kelak,” katanya.
Sesi solat Jumaat itu turut disertai para penduduk setempat serta penjawat awam dari sekitar Putrajaya yang mengambil kesempatan bertemu dan bersalaman dengan Anwar selepas solat.
Anwar sering memilih lokasi berbeza setiap minggu untuk menunaikan solat Jumaat bersama rakyat, sebagai sebahagian daripada pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan nilai keakraban, kebersamaan dan kasih sayang dalam masyarakat.
Baca juga:








