Anwar Ucap Selamat Bersidang Kepada UMNO

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh pimpinan dan perwakilan UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung mulai hari ini hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar turut mendoakan agar persidangan berkenaan berjalan dengan tertib serta dipenuhi perbincangan yang membina demi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau menekankan bahawa dalam landskap politik dan ekonomi yang semakin mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipolemikkan, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat.

“Malaysia memerlukan politik yang matang, berteraskan muafakat, saling menghormati serta keupayaan untuk bekerjasama demi memastikan kestabilan, kemakmuran dan masa depan yang lebih adil serta inklusif buat seluruh rakyat,” katanya.

Beliau berkata, persidangan kali ini diharap menjadi medan wacana yang bernas, berpaksi kepada keperluan rakyat serta mampu menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 diadakan selepas dua kali ditangguhkan pada Ogos dan November lalu bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Seramai 6,412 perwakilan dilaporkan mendaftar bagi persidangan kali ini, melibatkan 2,928 perwakilan Perhimpunan Agung UMNO, 1,165 perwakilan Wanita, 1,173 perwakilan Pemuda dan 1,146 perwakilan Puteri.

Anda Mungkin Berminat