PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan Selamat Hari Natal kepada seluruh penganut Kristian di Malaysia yang bakal menyambut perayaan itu pada Khamis.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu, Anwar berharap sambutan Hari Natal diraikan dalam suasana penuh kedamaian, keharmonian dan kemakmuran, bukan sahaja untuk masyarakat Kristian tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
Beliau menekankan bahawa ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi, konflik kemanusiaan dan perpecahan sosial, Malaysia memilih jalan perpaduan, dialog dan saling menghormati sebagai asas membina masa depan negara.
“Kerajaan MADANI percaya keharmonian tidak lahir secara kebetulan tetapi dibina melalui dasar yang adil, peluang yang saksama serta budaya saling memahami dalam kalangan rakyat berbilang agama dan kaum,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, perpaduan yang tulen akan wujud apabila setiap warga saling hormat-menghormati, dilindungi dan diberi ruang untuk menyumbang kepada masa depan negara.
“Sempena sambutan Hari Natal ini, marilah kita memperkukuh tekad untuk menolak kebencian dan menyemai empati, kerana kekuatan Malaysia terletak pada kesatuan dalam kepelbagaian,” katanya.








