PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut Hari Ponggal kepada seluruh masyarakat Tamil di Malaysia, sambil menekankan makna perayaan itu sebagai simbol kesyukuran dan kebersamaan.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu, Anwar berkata, Ponggal melambangkan rasa syukur atas limpahan rezeki daripada hasil tuaian serta menandakan bermulanya bulan Thai dalam kalendar Tamil, yang sering diraikan sebagai hari pertama Tahun Baharu Tamil.
“Saya berharap sambutan Ponggal pada tahun ini diraikan dengan penuh kegembiraan, keharmonian dan lebih bermakna bersama keluarga serta insan tersayang,” katanya.
Beliau berkata, perayaan itu turut mengingatkan seluruh penganutnya tentang nilai kesyukuran, kebersamaan dan saling menghargai antara satu sama lain.
Ujar Anwar, meskipun masyarakat di negara ini mempunyai perbezaan pandangan, latar belakang atau pendirian, sikap saling memahami dan menghormati tetap menjadi pengikat kepada keharmonian masyarakat majmuk serta kekuatan perpaduan negara.
“Semangat kebersamaan inilah yang mesti terus diperkasa dalam membina sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.
“Atas kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Tamil dan Selamat Menyambut Perayaan Ponggal kepada seluruh masyarakat India, khususnya komuniti Tamil,” katanya.








