Anwar Ucap Tahniah Kepada Anutin, PM Baharu Thailand

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Anutin Charnvirakul atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu Thailand, sambil menyatakan harapan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menzahirkan komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan Thailand khususnya dalam pembangunan kawasan sempadan, perluasan perdagangan dan kebajikan rakyat.

“Malaysia berharap dapat meneruskan hubungan rapat dengan Thailand dalam membangunkan sempadan bersama, mempertingkatkan perdagangan dan memelihara kebajikan rakyat kita,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan penting Thailand dalam menjamin kestabilan serantau terutamanya dalam kerangka ASEAN yang menjadi tunjang keamanan dan kemajuan Asia Tenggara.

“Thailand mempunyai peranan penting dalam menjamin kestabilan serantau.

“Kepimpinan Perdana Menteri Anutin akan menjadi faktor penting ketika negara itu memasuki fasa baharu perjalanan demokratiknya,” kata Anwar.

Pelantikan Anutin dilihat signifikan kerana beliau bakal memimpin Thailand ketika negara itu berdepan cabaran politik dalaman serta keperluan memperkukuh ekonomi pasca pandemik.

Anutin Charnvirakul yang juga Ketua Parti Bhumjaithai, dilantik sebagai Perdana Menteri selepas memperoleh undi majoriti dalam sesi Parlimen pada Jumaat lalu, menandakan permulaan era baharu dalam landskap politik Thailand.

Anda Mungkin Berminat