Anwar Ucap Tahniah kepada PM Kanada, Jemput Datang ke Malaysia

PARIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi Perdana Menteri Kanada, Mark Carney bagi mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Liberal Kanada dalam pilihan raya umum yang berlangsung, baru-baru ini.

Perbualan itu diadakan semasa lawatan rasmi Anwar ke Paris, di mana beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital dan teknologi baharu.

Anwar menyambut baik penglibatan berterusan PETRONAS dalam projek LNG Canada yang dilihat sebagai simbol kerjasama tenaga yang kukuh antara kedua-dua negara.

“Projek itu juga berpotensi menjadi pemangkin penting dalam mendorong inisiatif hijau serta peralihan tenaga masa depan,” katanya.

Sebagai anggota Perkongsian Komprehensif dan Progresif bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Anwar berkata, Malaysia dan Kanada juga berkongsi aspirasi dalam memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berpaksikan multilateralisme yang adil serta inklusif.

Dalam perbualan tersebut, Perdana Menteri turut menyuarakan harapan agar Kanada mempertimbangkan semula dasar pengecualian visa kepada rakyat Malaysia, selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain.

“Langkah ini diyakini dapat mengukuhkan hubungan antara rakyat serta merancakkan pertukaran pelbagai hala,” kata beliau.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan keperluan untuk memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN–Kanada termasuk mempercepatkan proses rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Kanada demi manfaat bersama seluruh rantau.

Dalam pada itu, Anwar turut menjemput Perdana Menteri Kanada untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat sebagai usaha mempererat hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala yang telah lama terjalin.

Anda Mungkin Berminat