Anwar Ucap Tahniah Kepada Sanae Takaichi, Jepun Catat Sejarah Lantik PM Wanita Pertama

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Sanae Takaichi atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu, sekali gus mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi negara matahari terbit itu.

Dalam satu kenyataan, Anwar menyifatkan pelantikan Takaichi sebagai detik bersejarah yang mencerminkan kematangan demokrasi Jepun serta keteguhan tekad pemimpin tersebut.

“Pelantikannya sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun merupakan pencapaian penting dalam sejarah politik negara itu, menggambarkan evolusi demokrasi dan keazaman beliau,” katanya.

Pelantikan Takaichi, tokoh konservatif yang pernah memegang beberapa portfolio kanan dalam Kabinet Jepun, dilihat sebagai titik perubahan dalam landskap politik negara itu yang selama ini didominasi oleh kepimpinan lelaki.

Beliau dijangka membawa pendekatan baharu dalam dasar luar dan pembangunan teknologi, selari dengan aspirasi global Jepun.

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Jepun, yang telah terjalin erat selama lebih enam dekad.

“Malaysia menghargai hubungan Kerjasama Strategik Komprehensif dengan Jepun yang dibina atas asas kepercayaan, inovasi dan komitmen bersama terhadap kestabilan serantau serta pertumbuhan mampan,” katanya.

Beliau menyatakan kesediaan Malaysia untuk memperluas kerjasama sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun yang akan berlangsung di Kuala Lumpur minggu depan.

“Saya menantikan kehadiran Perdana Menteri Takaichi ke Kuala Lumpur bagi Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, di mana kedua-dua negara akan terus memperkukuh kerjasama sedia ada,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba atas sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan dua negara termasuk lawatan rasmi ke Malaysia awal tahun ini.

Hubungan Malaysia-Jepun yang diasaskan melalui dasar ‘Pandang ke Timur’ sejak era 1980-an terus berkembang dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan dan pertahanan.

Anda Mungkin Berminat