PETALING JAYA: Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Presiden Donald J. Trump atas pelantikannya sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Malaysia sedia bekerjasama dengan Trump bagi mengukuhkan hubungan serta saling melengkapkan wawasan antara kedua negara.
“Saya menantikan untuk bekerjasama dengan Presiden Trump bagi mengukuhkan hubungan yang kukuh, saling melengkapi dan berwawasan antara Malaysia dan Amerika Syarikat,” kata Anwar menerusi catatan Facebook malam tadi.
Anwar turut mengalu-alukan kehadiran Trump ke Kuala Lumpur lebih-lebih lagi tahun ini Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, saya berharap dapat mengalu-alukan Presiden Trump ke Malaysia, mengukuhkan komitmen semula Amerika terhadap rantau kami,” tambahnya.
Jelas Anwar, Presiden Trump membawa pendekatan unik dalam menangani cabaran domestik dan global, seperti yang terbukti melalui peranannya yang penting dalam memudahkan gencatan senjata Gaza sebelum pelantikannya.
Justeru, Malaysia sedia untuk bekerjasama dalam usaha Trump membawa era kegemilangan baharu bagi AS.
Semalam Trump mengangkat sumpah sebagai presiden AS untuk penggal kedua.
Baca juga:








