Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ucap tahniah kepada Shigeru Ishiba yang dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu.
Anwar mengakui hubungannya bersama Shigeru menjadi lebih kukuh sejak Disember lalu sewaktu sama-sama menjalin hubungan perkongsian strategik yang komprehensif.
“Peranan Jepun dalam perjalanan ekonomi Malaysia adalah sangat penting dan syarikat di Jepun sememangnya menjadi rakan kongsi yang tidak dapat dielakkan dalam usaha menuju ekonomi berteknologi yang bernilai tinggi.
“Oleh itu, saya mengucapkan syabas kepada Shigeru Ishiba ke atas pelantikan Perdana Menteri Jepun baharu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di atas dedikasi yang teguh untuk terus menjalinkan hubungan bersama Malaysia.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang mendalam kepada sahabat saya yang dihormati, bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida terhadap sikap dedikasi yang teguh dan usaha tanpa henti dalam mengukuhkan hubungan di antara Jepun dan Malaysia,” ujarnya.
Anwar berharap kerjasama bersama Ishiba akan terus diperkukuh supaya dapat menerokai peluang yang baharu dan membina masa depan yang penuh dengan kemakmuran serta keselamatan bersama.
Bekas Menteri Pertahanan Jepun, Shigeru Ishiba telah dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu oleh parlimen, hari ini.
Ishiba, 67, dilaporkan memenangi persaingan sengit minggu lalu untuk mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP).