PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat ulang tahun ke-80 kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), sambil menekankan peranan penting institusi penyiaran itu dalam memastikan maklumat sahih terus sampai kepada rakyat.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menyifatkan RTM sebagai sebuah institusi yang sekian lama menjadi suara rakyat dan denyut nadi bangsa.
“Dalam lanskap penyiaran yang sedang berubah pantas, ditambah dunia yang tidak menentu serta lonjakan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), peranan RTM semakin kritikal untuk memastikan maklumat yang sahih, berimbang dan berintegriti terus sampai kepada rakyat tanpa mengorbankan nilai dan kepercayaan,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan agar RTM terus memimpin dengan memperkasa bakat tempatan, mengangkat karya anak seni serta memanfaatkan teknologi secara beretika agar kekal relevan, berwibawa dan menjadi wahana pembinaan negara bangsa.
RTM sebelum ini melaporkan bahawa mereka kini melangkah ke usia lapan dekad, sebuah perjalanan panjang yang bukan sekadar catatan kronologi tetapi juga menjadi saksi dan perakam setia setiap detik bersejarah pembentukan Malaysia.








