KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta rakyat Sepanyol susulan tragedi kemalangan kereta api berhampiran Adamuz, yang meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa dan mencederakan ramai lagi.
Dalam kenyataannya, Anwar menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden yang mengejutkan itu, yang telah membawa kesedihan besar kepada keluarga di seluruh Sepanyol.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan takziah yang tulus kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dan kepada seluruh rakyat Sepanyol pada waktu yang sukar ini.
“Doa kami juga bersama mereka yang cedera dan semua pihak yang sedang berusaha untuk menjaga mangsa,” katanya pada Selasa.
Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia berdiri teguh bersama Sepanyol, menyatakan solidariti negara ini ketika rakyat Sepanyol berkabung atas kehilangan yang amat tragik.
Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol pada Isnin mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari selepas sekurang-kurangnya 39 orang disahkan maut dalam kemalangan membabitkan dua tren berkelajuan tinggi di wilayah Cordoba, selatan negara itu.








