Anwar Ucap Takziah Kepada Rakyat Filipina Terjejas Taufan Kalmaegi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih terhadap insiden tragik yang meragut nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di Filipina susulan Taufan Kalmaegi.

Dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis, Anwar menyifatkan laporan mengenai banjir besar, tanah runtuh serta kemusnahan rumah dan infrastruktur sebagai amat menyayat hati.

“Saya amat sedih dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan besar yang disebabkan oleh Taufan Kalmaegi di Filipina.

“Laporan mengenai banjir besar, tanah runtuh serta kemusnahan rumah dan infrastruktur amat menyayat hati,” katanya.

Beliau turut menyampaikan salam takziah daripada pihak Kerajaan Madani dan seluruh rakyat Malaysia kepada keluarga mangsa serta semua yang terjejas akibat tragedi tersebut.

“Doa dan ingatan kami bersama rakyat Filipina ketika mereka berusaha membina semula komuniti masing-masing,” katanya lagi.

Taufan Kalmaegi yang melanda wilayah tengah Filipina pada Selasa lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 140 nyawa, manakala 127 lagi dilaporkan hilang selepas banjir besar memusnahkan kawasan penempatan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, taufan itu kini sedang bergerak menuju ke Vietnam.

Pejabat Pertahanan Awam Kebangsaan mengesahkan 114 kematian, namun angka itu tidak termasuk tambahan 28 kes kematian yang direkodkan oleh pihak berkuasa wilayah Cebu.

Lebih menyayat hati, wilayah Cebu ketika ini masih dalam proses pemulihan daripada gempa bumi bermagnitud 6.9 yang berlaku bulan lalu, yang turut meragut puluhan nyawa dan memaksa ribuan penduduk berpindah.

Anda Mungkin Berminat