MIRI: Seisi keluarga berduka atas pemergian Awang Sauni Pengiran Anis, ayahanda kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, yang telah kembali ke rahmatullah dalam lena pada pukul 2:45 pagi.
Berita duka ini mengundang pelbagai ucapan takziah termasuk daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan rasa simpati dan doa penuh makna.
“Saya utus takziah kepada Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni atas pemergian ayahanda tercinta almarhum Awang Sauni Pengiran Anis.
“Pemergian ini ternyata mengesankan keluarga dan pastinya saya turut berduka dan mendoakan agar segala dosanya diampunkan dan dikurniakan tempat yang terbaik oleh Allah SWT, Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dilaporkan, jenazah almarhum disolatkan di Masjid Darul Istiqamah, Luak dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Beluboh.
Dalam satu hantaran di media sosial, Lukanisman meluahkan rasa sedih dan memohon doa agar roh ayahandanya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Beliau turut memohon maaf bagi pihak ayahandanya kepada sesiapa yang mungkin pernah terguris hati serta menyeru agar sebarang urusan tertunggak dapat diselesaikan secara langsung dengannya.
Awang Sauni dikenali sebagai seorang bapa penyayang dan figura penting dalam kehidupan Lukanisman, yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Sibuti sejak 2018.
Lukanisman, yang berdarah campuran Melanau dan Cina telah memperjuangkan pelbagai isu kesihatan dan pembangunan lestari termasuk usaha menjadikan Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Pemergian Awang Sauni bukan sahaja dirasai oleh keluarga tetapi juga oleh masyarakat yang mengenali jasa dan keperibadiannya.
Semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.








