Anwar umum kemudian nama Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau akan mengumumkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu pada masa akan datang.

Menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam satu pertemuan yang diadakan pada pagi Jumaat.

“Nanti saya akan umumkan kemudian (nama Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu). Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Tuanku tadi,” katanya dipetik Malaysia Gazette.

Anwar ditemui selepas menghadiri majlis makan tengah hari di Pasar Tani Kekal Permas Jaya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Ahli Parlimen, Hassan Abdul Karim.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda akan meneliti dan memilih calon yang sesuai bagi menerajui SPRM, selaras dengan kepentingan institusi itu dalam usaha membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara ini.

Baginda turut menegaskan bahawa pelantikan tersebut tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Mengulas mengenai senarai calon yang dikemukakan, Anwar secara berseloroh berkata terdapat banyak nama yang layak dipertimbangkan.

“Nama yang layak ada 120 (calon),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut meluangkan masa beramah mesra bersama komuniti setempat sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, yang dihadiri lebih 1,500 jemaah termasuk Menteri Besar Johor.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat