KULIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan beliau ke Kedah dengan menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga badan beruniform di Kem Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim pada Sabtu.
Majlis penuh kebersamaan itu menjadi ruang untuk beliau menyantuni anggota yang saban hari berada di barisan hadapan menjaga keamanan negara.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan memperbanyakkan ibadah tetapi juga masa untuk memperkukuh nilai ihsan, amanah dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Keamanan yang kita kecapi hari ini tidak datang dengan sendirinya.
“Ia terhasil daripada pengorbanan serta kesiapsiagaan anggota pasukan keselamatan yang mempertaruhkan nyawa di lapangan demi memastikan negara terus aman dan stabil,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa pasukan keselamatan, Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan segera RM18 juta merangkumi RM10 juta bagi menangani isu bekalan air di kem tersebut serta RM8 juta untuk menaik taraf kemudahan elektrik dan prasarana berkaitan.
Langkah itu, jelas beliau, bertujuan memastikan kebajikan anggota terus terpelihara.
Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM2.69 juta untuk membaiki kemudahan beberapa sekolah pondok di Kedah.
“Peruntukan itu adalah sebahagian daripada iltizam Kerajaan MADANI memperkukuh institusi pendidikan Islam serta meningkatkan kemudahan untuk para pelajar,” katanya.
Beliau turut berdoa agar Ramadan kali ini menjadi wadah menyemai semangat kebersamaan, memperkukuh keimanan serta mengingatkan rakyat akan tanggungjawab bersama menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.








